Sabtu, 31 Oktober 2009

Kisah Biskut

Seorang wanita di lapangan tebang sedang menunggu waktu penerbangannya. Sambil menunggu, dia makan biskut yang dibelinya sebelum itu dan membaca buku cerita.

Sedang dia makan dia terperasan yang lelaki disebelahnya turut mengambil biskut dari bungkusan yang sama yang terletak di sebelahnya.Setiap keping yang dia ambil lelaki itu turut mengambil sama.

Di dalam hati wanita itu menyumpah-nyumpah lelaki itu :"Alangkah tak malunya lelaki ini. Dahlah tak minta dari aku. Makan sama banyak dengan aku pulak tu! Dasar pencuri!!!" Rungut wanita itu di dalam hati.

Dalam pada itu, lelaki itu dengan muka yang tenang terus dengan perbuatannya. Hinggalah sampai ke biskut yang terakhir yang terdapat dalam bungkusan itu. Wanita itu menunggu reaksi dari lelaki itu.

Sambil tersenyum lelaki itu mengambil biskut yang terakhir itu lalu dipatah dua lantas memberikan separuh kepada wanita itu. Wanita itu menjadi begitu marah namun dia tetap menahan dirinya dari memarahi lelaki itu.

Sambil merampas dengan kasar biskut yang separuh itu dan menunjukkan mukanya yang masam mencuka, wanita itu berkata dalam hati : "Berani sungguh lelaki ni.. Memang muka tak tahu malu! Pencuri besar!!" kata hatinya dengan marah.

Kedua-dua wanita dan lelaki itu terus duduk sehingga panggilan untuk menaiki pesawat untuk wanita itu sampai. Sambil menarik nafas lega seolah baru lepas dari satu kejadian ngeri wanita itu bergerak menaiki pesawatnya.

Apabila sampai di tempat duduknya beliau membuka beg kecilnya untuk mengambil barang. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat satu bungkusan biskut berada di dalam begnya dan ia masih elok belum terbuka.

"Jika biskut ini ada dalam beg aku jadi bermakna biskut yang aku makan tadi..................." Getusnya.

Ya. Biskut yang dimakannya tadi adalah kepunyaan lelaki itu. Alangkah malunya dia atas segala tindakannya terhadap lelaki itu. Lelaki itu telah sanggup berkongsi biskut dengannya sehingga biskut yang terakhir biarpun dari awal lagi wanita itu telah menunjukkan reaksi marahnya.Untuk meminta maaf sudah terlambat namun hatinya penuh kekesalan kerana bersifat kedekut dan tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Kini dia menyedari bahawa dialah pencuri biskut yang sebenarnya.


Moral :

Jangan buruk sangka dengan orang. Keindahan yang hakiki datangnya dari hati yang ikhlas bukan dari pandangan seseorang.

Firman Allah

: "Wahai orang-orang yang beriman. Jauhilah kebanyakan dari berburuk sangka kerana sesungguhnya perbuatan berburuk sangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan megumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani"
(AL-Hujuraat : 12)

Posted by Nazy Sam at 9:41 PTG